Jumaat, 22 Mei 2015

Teras strategik rancangan Malaysia ke 11

Label :

Untuk tempoh 5 tahun yang akan datang, rancangan Malaysia ke 11 bertemakan pertumbuhan berpaksikan rakyat  adalah pusingan terakhir yang akan menentukan hala tuju negara ke arah mencapai wawasan 2020. Bukan sahaja pencapaian dari aspek ekonomi malah kesejahteraan rakyat dan pemeliharaan alam sekitar juga turut dititikberatkan. Berikut ialah enam teras utama yang digariskan dalam pembentangan.




1. Memperkukuhkan inklusiviti ke arah masyarakat saksama.
Secara ringkasnya, ianya merujuk kepada pembangunan sosioekonomi yang mana hasilnya dikongsi dan dinikmati bersama oleh rakyat tanpa mengira gender, etnik, tahap sosioekonomi dan lokasi.

2. Meningkatkan kesejahteraan rakyat.
Pendekatan pembangunan kerajaan yang seimbang antara ekonomi dan kesejahteraan rakyat yang mana ianya adalah elemen penting bagi memastikan rakyat mempunyai taraf  dan kualiti hidup yang baik serta dalam masa yang sama mengukuhkan lagi kesepaduan sosial dan perpaduan nasional.

3. Meningkatkan pembangunan modal insan untuk negara maju.
Pembangunan modal insan berkualiti yang mana adalah komponen penting dalam memacu pertumbuhan ekonomi negara. Tenaga kerja atau buruh yang berpengetahuan, cekap serta efisien dalam semua sektor industri akan menarik lebih ramai pelabur.

4. Menuju ke arah pertumbuhan hijau bagi meningkatkan kemampanan dan daya tahan.
Komitmen kerajaan untuk memastikan pembangunan yang mampan dengan beralih daripada konsep "grow first, clean up later" yang berkos tinggi. Perlaksanaan konsep pertumbuhan hijau ini akan membolehkan penggunaan sumber yang cekap, bersih dan berdaya tahan dan dalam masa yang sama menjaga serta memelihara alam sekitar dan sumber asli untuk generasi masa kini dan masa hadapan.

5. Memperkukuh infrastruktur bagi menyokong pertumbuhan ekonomi.
Bagi memastikan rakyat mempunyai akses kepada kemudahan asas dan perkhidmatan seperti air, elektrik, pengangkutan, komunikasi. Pembangunan infrastruktur akan membolehkan pergerakan rakyat dan aktiviti perniagaan lancar di dalam negara. Ianya aspek penting yang membolehkan penyertaan sosial serta perkembangan ekonomi negara.

6. Merekayasa pertumbuhan ekonomi untuk peningkatan kemakmuran.
Asas bagi sebuah negara maju adalah kekukuhan pertumbuhan ekonomi. Kepelbagaian sumber, perkhidmatan dan barangan yang berkualiti tinggi akan menjana pekerjaan yang bergaji tinggi. Dengan teras asas ekonomi yang kuat maka negara akan mempunyai daya tahan terhadap elemen kejutan luar dan tidak menjejaskan kemakmuran yang dikecapi oleh rakyat.

Melihat kepada enam teras ini maka dapat dirumuskan bahawa untuk mencapai status sebuah negara maju, rakyat hendaklah bersatu padu bekerjasama dengan kerajaan dalam semua aspek dan terus mengekalkan keharmonian Malaysia sebagai sebuah negara yang unik dengan kepelbagaian bangsa dan agama.

"Artikel lain yang berkaitan : 9 Matlamat wawasan 2020"